Cerpen : Permata Yang Dicari
Ruang tamu di teratak Encik Shamsul dan Puan Fatimah itu, dipenuhi dengan barang-barang perkahwinan seperti bunga telur dan kotak-kotak barangan souvenir untuk persiapan majlis perkahwinan anak bongsu mereka iaitu Ardini Humaira. Nama yang indah itu diberikan sesuai dengan wajah Humaira yang lembut dan putih kemerah-merahan itu. Wataknya yang manja dan lembut itu sering membuatkannya menjadi perhatian jejaka-jejaka diluar sana.
Maira membelek-belek barang hantaran yang ingin digubahnya itu. Dari tadi dibeleknya namun hatinya tidak tenang. Hari pernikahannya akan berlangsung tiga hari lagi. Persiapan majlis perkahwinannya hampir siap sepenuhnya. Dia tidak menafikan hatinya semakin berdebar-debar menantikan hari bersejarah itu. Walaupun hatinya semakin berbunga-bunga dia tetap memikirkan tentang Hazim Imran, abang angkatnya itu. “Kenapa Abang Im tiba-tiba menyepi jer. “ ujar Maira di dalam hatinya. Dia masih teringat peristiwa sewaktu kali terakhir dia bersua dengan Abang Im pada tiga minggu yang lepas sebelum Imran ke Kuala Lumpur untuk urusan kerjanya.
“Maira, Abang Im doakan Maira bahagia dengan Zaff. Abang Im yakin dia yang terbaik untuk Maira. Apa pun abang Im nak Maira janji dengan abang Im, jadi isteri yang terbaik, yang solehah untuk Zaff.” Ujar Hazim Imran sambil memandang Maira dengan penuh makna sekali.
“Baiklah abang Im, InsyaAllah, Maira akan cuba menjadi isteri yang terbaik. Abang Im doakan Mira yer. Hurm, maaf kalau Maira nak tanya sikit dengan abang Im ni.. boleh tak?” tanya Maira sambil diperhatikan oleh Hazim Imran.
“Tanyalah apa Maira nak tanya abang Im. Nanti dah jadi isteri orang, tak boleh nak tanya lebih-lebih lagi dengan abang Im tau..” jawab Hazim Imran diikuti dengan gelak kecilnya mengusik Humaira.
“bila abang Im nak kahwin?” tanya Humaira lembut walaupun dia agak takut untuk mengeluarkan soalan itu.
“erm, abang Im tak jumpa lagi la permata yang abang Im nak. Nanti kalau dah jumpa, Maira orang pertama yang akan abang Im bagitau. Special ni tau..” jawab Hazim Imran bersahaja.
“isshkk, abang Im ni, Maira ni kan dah macam adik abang Im, takkan itu pun nak sorok dengan Maira…” jawab Maira sambil mencebik bibirnya tanda tidak setuju dengan jawapan Hazim Imran itu. “abang Im tak sorok lah Maira, memang abang Im tak jumpa siapa-siapa lagi. Apa pun yang penting abang Im nak tengok Maira bernikah dulu. Lepas tu nanti baru abang Im fikirkan pasal abang Im,” jawabnya. Perbualan pada petang itu menjadi memori dihati Maira kerana itulah kali terakhir dia berjumpa dengan Abang Im sebelum menjelang hari pernikahannya nanti.
6 bulan sebelum…
***********************
“Saya harap pak cik dan mak cik dapat rahsiakan perkara ni dari Humaira. Bukan saya tak sayang dia pakcik, makcik.. tapi saya rasa saya tak lama. Saya sangat menyayangi dan menyintai Maira bukan sebagai seorang adik tapi saya ingin memilikinya sebagai permaisuri dalam hidup saya. Maira tak pernah tahu isi hati saya ni dan biarlah dia tahu bila tiba masa yang sesuai nanti. Saya taknak dia susah hati pakcik, makcik” jelas Imran kepada kedua orang tua Humaira itu.
“Tak baik Im cakap macamtu. Ajal maut tu semua di tangan Tuhan. Pakcik dan makcik sentiasa doakan agar Im cepat sembuh. Pakcik dah anggap Im macam anak pakcik sendiri. Sejak pakcik ambil Im sebagai anak angkat pakcik dulu, pakcik memang berniat untuk jadikan Im sebagai menantu pakcik,” ujar En. Shamsul dalam nada yang agak sedih.
“maafkan saya pakcik sebab saya tak mampu tunaikan hajat pak cik tu. Apapun saya teringin nak tengok Maira berumahtangga sebelum saya menghembuskan nafas terakhir saya. Saya akan kenalkan pak cik dan makcik dengan kawan baik saya semasa saya di Rumah Anak-anak Yatim dulu. Namanya Izz Zafri. Baik orangnya pakcik, makcik. Sama bidang dengan saya cuma sekarang dia bekerja sebagai jurutera di salah sebuah anak syarikat Petronas tak jauh dari sini. Dari sekolah dulu saya dah kenal dengannya pakcik dan saya rasa dia memang layak untuk Maira. Saya tahu Maira tu baik dan saya nak dia juga mempunyai pasangan yang baik. Saya tahu Maira juga ada menyimpan perasaan pada saya tapi saya mengendahkan sahaja perasaannya pada saya pakcik. Bukan sebab saya tak sayang, tapi disebabkan saya menyayangi dia, saya terpaksa simpan sahaja niat dan perasaan saya.”
Puan Fatimah hanya memandang Imran dengan perasaan sayu. Dia sebak kerana terlalu menyayangi Imran yang telah dianggap sebagai anak kandungnya itu. Walaupun tidak tinggal serumah, En. Shamsul dan Pn. Fatimah sering melawat Imran sewaktu beliau tinggal di rumah anak-anak yatim dahulu. Kebiasaannya En. Shamsul dan Pn.Fatimah akan membawa Imran pulang ke rumah pada hujung minggu. Perbelanjaan Imran melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti turut dibantu oleh keluarga Maira. Mereka telah menganggap Imran sebagai ahli keluarga mereka. Maira sangat rapat dengan Imran kerana mereka sering belajar bersama. Imran sentiasa menjaga Maira seperti adiknya dan Imranlah juga guru tambahan yang mengajar Maira mengaji Al-Quran. Imran bijak dalam mempelajari dan menghafaz ayat Al-Quran dan dia sering memberi tunjuk ajar kepada Maira.
“Apapun cadangan Im, pakcik setuju tapi kita kena tanya tuan punya badan dulu. Nanti kita tengok macam mana penerimaan Maira pada kawan Im tu. Kita sama-sama doakan yang terbaik. Im macam mana sekarang, masih berulang ke KL untuk rawatan tu?”
“Yer pakcik…sekarang saya lagi kerap ke KL untuk rawatan tu dan saya cuma bagitau pada Maira yang saya ada urusan kerja. Sekarang ni saya banyak ambil cuti dan kadang-kadang hanya membantu beberapa projek yang perlukan pemantauan saya. Pakcik, mak cik.. saya sekarang hanya bergantung pada Chemotherapy dan peluang untuk sembuh tu amat tipis. Apapun saya redha dengan apa yang ditentukan untuk saya.” Imran tenang menjelaskan segalanya kepada En. Shamsul dan Pn. Fatimah.
3 bulan sebelum…
**********************
“Abang Im, abang Im tak suka Maira ke? Tanya Maira sewaktu Im ke rumahnya sewaktu majlis merisik Maira oleh Izz Zaffri.
“Kenapa Maira tanya Abang Im macam tu. Mestilah abang Im suka Maira. Maira kan adik abang Im yang baik dan bijak. Sekarang dah jadi cikgu pulak tu, jangan nakal macam murid-murid sudah,” ujar Hazim Imran berseloroh dengan insan kesayangannya itu.
“ Abang Im ni, Maira seriusla. Maira kan dah dipinang orang ni, jadi Maira nak tahu jugak perasaan Abang Im pada Maira. Maira sayang Abang Im.” Ujar Maira sedikit sebanyak ingin meluahkan perasaan yang tersimpan dilubuk hatinya selama ini.
“erm.. Maira, Zaffri tu kawan baik abang Im, memang baik sangat orangnya. Abang Im tak paksa Maira untuk terima dia, tapi Abang Im rasakan yang dia terbaik untuk Maira.” Jawab Imran tanpa menjawab soalan dari Maira itu. Maira juga dapat merasakan Imran seperti menyembunyikan sesuatu darinya.
“Maira setuju dengan pinangan kawan Abang Im tu. Baik pada ibu dan ayah, baiklah pada Maira. Yang penting Maira nak perkahwinan Maira ni direstui oleh keluarga Maira termasuklah Abang Im. Cuma….dalam hati Maira….” Maira terdiam dan tidak dapat menghabiskan kata-katanya itu. Berat hatinya untuk meluahkan segala isi hatinya. Dia bimbang Imran tidak dapat menerima luahan isi hatinya itu. Mungkin Imran hanya menyayanginya sebagai seorang adik dan tidak lebih dari itu. Hatinya sedikit terusik kerana tidak menerima jawapan dari Imran, insan yang telah lama bertakhta di dalam hatinya itu.
*********************
“Maira, kenapa termenung tu?” tegur Pn. Fatimah sewaktu melihat anaknya itu termenung dihadapan barang-barang hantarannya itu.
“yer…yer bu. Mira terkenangkan abang Im la bu. Kenapa abang Im lama dah tak jenguk kita kat sini. Sibuk sangat ke abang Im kat KL tu. Lagi 3 hari jer Maira nak nikah. Takkan abang Im tak nak tengok majlis Maira nanti” jelas Maira kepada ibunya yang datang menemaninya menyiapkan hantaran itu.
“Maira…janganla fikirkan sangat pasal Abang Im tu. Dia sibuklah tu. Dia memang ada cakap dengan ibu, dia kena siapkan segera satu projek tu. Apapun dia dah janji dengan ibu, dia akan balik masa majlis pernikahan Maira nanti. Erm, cepat sambung kerja Maira ni. Anak dara tak elok termenung sorang-sorang,” ujar Pn. Fatimah sambil memberi semangat kepada anak bongsunya itu.
Maira segera meneruskan aktiviti menggubah hantaran perkahwinannya dengan bantuan Pn. Fatimah. Walaupun sedih memikirkan tentang hubungan anaknya dengan Imran, Pn. Fatimah tetap berpegang kepada janjinya terhadap Imran yang tidak mahu Maira mengetahui tentang keadaan dirinya.
*********************
Hari yang di nanti telah tiba. Pada tanggal 11.11.11, majlis pernikahan Ardini Humaira dan Izz Zaffri telah selamat dilangsungkan.
“Saya terima nikahnya.. Ardini Humaira binti Shamsul dengan mas kahwinnya RM101.00 tunai.” Dengan sekali lafaz sahaja Humaira telah bergelar isteri kepada Izz Zaffri.
“Tahniah Zaff, aku doakan engkau dengan Maira akan bahagia selamanya dan dikurnia anak yang soleh dan solehah.” Ucap Imran sambil bersalaman dan memeluk teman karibnya itu.
“Thanks Im, aku doakan engkau pun bahagia selalu. InsyaALLAH, aku akan jaga Maira sebaik-baiknya.”
Maira hanya memerhatikan gelagat dua sahabat karib itu. Hatinya agak sayu setelah bergelar isteri dan bertambah sayu apabila melihat dua insan yang disayanginya sedang berdakap mesra. Maira terharu kerana Imran hadir menyaksikan upacara pernikahannya pada petang itu walaupun dia dapat mengagak yang Imran kurang sihat melihat dari keadaan fizikalnya itu.
“Abang Im tak sihat ke?” ujar Maira sambil mendekati Imran yang kelihatan batuk-batuk dan agak tidak bermaya itu.
“Abang Im cuma demam sikit, tu yang batuk-batuk ni. Maira jangan risaula. Abang Im okey.” Jawab Imran sambil tersenyum memandang Maira yang anggun menggayakan dress berwarna putih itu. Ditatapnya wajah insan si hadapannya itu dengan penuh sayu sekali.
“Abang Im…ooo abang Im..kenapa abang Im pandang Maira macamtu” tegur Maira melihat gelagat Imran yang asyik memandang dirinya itu.
Imran tersentak dengan teguran Maira itu dan tertunduk malu.
“Abang Im tak pernah tengok Maira cantik macamni. Comelnya adik abang Im ni. Untung Zaffri dapat isteri macam Maira ni. Dahla cantik, baik pulak tu.” Ujar Imran mengusik Humaira.
“Abang Im ni tak abis-abis nak mengusik Maira. Maira ni dah jadi isteri orang. Abang Im tak boleh usik-usik Maira lagi. Nanti Maira report pada Zaffri.” Ujar Maira sambil tersenyum memandang Imran dan diikuti ketawa kecil mereka berdua.
“Abang Im nak mintak diri dulu. Abang Im tak berapa sihat ni. InsyaAllah, jika tiada aral, esok Abang Im datang kenduri Maira.”
“Baiklah, tapi kenapa abang Im tak nak tidur jer kat rumah Maira. Bolehlah tolong Maira dan Zaffri untuk persiapan kenduri esok,” pujuk Maira lagi.
“takperlah Maira, abang Im cadang nak ke klinik dulu sebab abang Im tak sihat ni. Lepas tu abang Im akan balik rumah sewa abang Im. Esok, insyaALLAH kita jumpa. Maira jaga diri baik-baik. Jaga Zaffri baik-baik.”
Pesanan Imran itu sedikit menyentuh naluri wanitanya. Imran kemudian bersalaman dengan kedua orang tua Maira dan saudara maranya yang lain. Setelah bersalaman, Imran memohon untuk pulang. Maira hanya memandang Imran yang berlalu pergi sambil melontarkan senyuman ke arahnya sebelum meninggalkan perkarangan rumahnya itu
************************
Majlis perkahwinan Humaira dan Zaffri itu di meriahkan dengan alunan lagu-lagu nasyid diselangi lagu-lagu pengantin kesukaan Maira dan Zaffri.
Tetamu majlis semakin memenuhi perkarangan rumah En. Shamsul dan Pn. Fatimah itu. Maira masih tertunggu-tunggu kelibat insan bergelar Hazim Imran itu.
“Abang, abang ada tak nampak abang Im datang tadi?” tanya Maira kepada suaminya itu.
“Erm… abang pun tak nampak kelibat Imran sampai sekarang. Tapi tadi abang dah cuba call tapi tak berjawab.” Jelas Zaffri sambil cuba mendail nombor telefon Imran. Maira semakin cemas dan terus mencapai telefom bimbitnya dan cuba untuk menghubungi Imran. Hatinya sedikit kecewa kerana panggilannya juga tidak berjawab. Maira dan Zaffri agak gelisah memikirkan apa yang berlaku kepada Imran.
“Ayah..ooo ayah…” terdengar laungan kakak sulung Maira memanggil ayahnya dari dalam rumah.
“kenapa Ainul…?” Tanya En. Shamsul sambil bergegas memasuki rumahnya.
“Ada panggilan dari hospital ayah,”
Maira dan Zaffri terdengar panggilan kakaknya itu dan segera mengekori ayahnya.
“yer cik..ye saya…. Apa??..............” inna lillahi wa inna ilayhi raji’un….” Ujar En. Shamsul sambil airmatanya berguguran.
Maira dan Pn. Fatimah segera mendapatkan En. Shamsul untuk mengetahui perkabaran itu.
“Ayah..kenapa ni ayah… siapa yang meninggal ayah…” pujuk Maira sambil menarik-narik tangan ayahnya.
“ Maira…. Imran dah tiada. Dia dah pergi meninggalkan kita.” Jelas En. Shamsul dengan nada yang sebak dan memeluk Maira sambil diperhatikan oleh Zaffri dan Pn. Fatimah.
Maira terduduk dan menangis. Zaffri segera memangku dan mendakap isterinya itu.
“Abang… abang Im tu… sebenarnya sakit apa…” tanya Maira dalam keadaan sedu sedan dan menangis teresak-esak. Zaffri tidak mampu menjawab pertanyaan Maira itu. Dia hanya menggeleng kepala dan menyapu airmata di pipi Maira. Dia juga turut sebak kerana kehilangan seorang teman karib sejak dibangku sekolah lagi. Imran adalah sahabat suka dan dukanya sejak dia bergelar anak yatim piatu.
“Maira…. Im mengidap kanser tulang tahap 4 sejak setahun yang lepas. Kami terpaksa merahsiakan dari Maira atas permintaan Imran sendiri. Maafkan ibu nak…” Jelas Pn. Fatimah sambil memeluk anaknya itu. Suasana ceria pada petang itu terus bertukar kelam setelah mendengar perkabaran tentang kematian Imran itu. Pihak hospital memaklumkan bahawa Imran telah ditahan diwad setelah dia datang membuat pemeriksaan semalam dan keadaannya semakin kritikal. Pihak hospital hanya menghubungi keluarga Maira setelah saat-saat terakhir Imran memaklumkannya. Maira dan ahli keluarganya terus bersiap untuk ke hospital.
************************
“Sayang.. ini ada hadiah perkahwinan dan surat dari Imran untuk sayang. Imran bagi pada abang dan dia mintak abang serahkan pada sayang lepas hari perkahwinan kita. Bukalah…” ujar Zaffri sambil menghulurkan sebuah kotak dan sampul surat kecil kepada Maira. Maira berat hati untuk mengambilnya namun dia tetap ingin mengetahui isi kandungan sampul surat tersebut.
“Buat Ardini Humaira”
“Dalam mencari permata, abang Im sebenarnya dah lama jumpa permata yang abang Im nak, cuma permata yang abang Im ingin miliki tu sebenarnya permata yang ditakdirkan untuk orang lain. Ardini Humaira adalah permata yang selama ini berada dalam hati abang Im tapi abang Im ditakdirkan bukan untuk Maira. Abang Im doakan Maira bahagia selamanya bersama Zaffri. Jangan lupa ingat abang Im selalu di dalam doa Humaira. Jaga diri baik-baik dan jadi isteri Solehah. Terimalah hadiah perkahwinan yang tak seberapa ni dari Abang Im, seutas rantai dihiasi sebentuk permata buat Permata Ardini Humaira.”
::Hazim Imran::
Maira mengalirkan airmatanya tanpa dapat tertahan lagi. Hazim Imran pernah hadir dihatinya namun takdir tidak menyebelahi mereka. Kini, Hazim Imran telah pergi buat selama-lamanya.
“Sabar sayang… abang akan sentiasa ada untuk sayang. Imran telah mengamanahkan abang untuk menjaga sayang sebaik-baiknya. InsyaAllah, abang akan tunaikan tanggungjawab abang,” ujar Izz Zaffri sambil mendakap isterinya itu.
“Jodoh itu rahsia Allah. Sekuat mana kita setia, Sehebat mana kita merancang, Selama mana kita menunggu, sekeras mana kita bersabar, sejujur mana kita menerima kekasih kita, Jika ALLAH s.w.t tidak menulis jodoh kita bersama insan yang kita kasihi, kita tetap tidak akan bersama dengannya.”
*****Sekian*****
p/s: thankyou sudi baca.
::oleh: Siti Humaizon::
No comments:
Post a Comment