Tuesday, January 3, 2012

Perkongsian Info: Peranan Wanita dan Hak

PERANAN WANITA

Ingin saya berkongsi disini hasil pembacaan dari laman web YADIM, terdapat pelbagai peranan wanita dalam pembangunan ummah. Daripada al-Quran, kita akan dapat memahami bahawa penciptaan Nabi Adam a.s yang kemudian diciptakan Hawa, yang berfungsi sebagai isteri dan kawan hidup baginda. Kita mengetahui kisah isteri Firaun, yang mampu mencegah hasratnya untuk membunuh Nabi Musa a.s. Sebagaimana tercatat dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berkatalah isteri Firaun, ´(Ia) biji mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat bagi kita atau kita pungut menjadi anak, sedangkan mereka tidak menyedari.” (Al-Qashash: 9).
Sebagai seorang wanita, saya juga tertarik untuk menyelami pelbagai isu-isu wanita diluar sana terutamanya berkaitan hak dan tanggungjawab sebagai seorang wanita sebagai anak, ibu, dan isteri. Dari segi percintaan mahupun kekeluargaan, wanita perlu berdepan dengan perubahan dan cabaran semasa. Saya tertarik untuk berkongsi artikel hasil pembacaan Metroharian 25 Jun 2009 ruangan Variasi(Hati),m.s:V8 bertajuk “Cinta berkecai sekelip mata” “Anggaplah anda belum ditemukan dengan insane setia”.

Antara petikan yang boleh dikongsi ialah menginginkan sesuatu yang amat sukar diperoleh bagaikan satu kepuasan tidak terhingga. Namun dalam soal hati dan perasaan, setiap yang didambakan sering menemukan kita dengan harapan palsu, sekaligus kepahitan berterusan. Menghadapi perpisahan getir seperti putus kasih, putus tunang bahkan pernah melalui perceraian yang menjadi satu pengalaman pahit dalam hidup sukarnya untuk bangkit semula sesudah segalanya hancur punah. Namun jangan putus asa atas segala kepahitan yang dilalui itu. Dalam percintaan percayalah jika anda pernah dikecewakan, pasti akan wujud cahaya baru dikemudian hari. Katakan pada diri, mungkin anda belum ditemukan dengan insane yang layak menerima ketulusan cinta anda sepenuhnya. Anggaplah perpisahan dengan yang lama sebagai permulaan untuk suatu permulaan yang indah bahkan lebih bermakna.

Melalui ruangan Ratu, Berita Harian 6 Julai 2010, m.s:20, “Wanita perlu tahu hak elak daripada terus dianiaya”. Dari segi perkahwinan, ramai wanita mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga yang membelenggu mereka seperti didera secara mental dan fizikal oleh suami. Lebih malang ada yang ditinggalkan suami dan terpaksa melakukan segala-galanya sendiri termasuk menguruskan rumah tangga serta mencari pendapatan bagi menyara hidup bersama anak. Malangnya, ramai wanita yang hanya membiarkan keadaan itu menimpa mereka kerana berpendapat ia takdir selain beranggapan sebagai isteri, mereka perlu taat kepada suami dan tidak boleh menderhaka walaupun terpaksa melalui kehidupan yang menyedihkan. Hakikatnya, ada beberapa penyelesaian yang boleh dilakukan oleh wanita untuk keluar dari masalah yang menghantui hidup mereka itu dan mendapatkan hak yang sewajarnya untuk hidup secara bermutu. Antaranya menuntut cerai fasakh atau pembubaran perkahwinan. Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dr. Mohd Naim Mokhtar,berkata wanita sewajarnya mengetahui hak mereka sebgai isteri kerana Islam mempunyai undang-undang yang tidak membiarkan wanita terus dianiaya. Seksyen 2 (tafsiran) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, menyatakan fasakh didefinisikan sebagai sesuatu hal dan diharuskan hukum syarak. Dr. Naim berkata, Islam sentiasa mengutamakan keadilan dan saksama dalam semua aspek, oleh itu lelaki dan wanita mempunyai hak masing-masing untuk mendapatkan hak mereka dalam kehidupan berumahtangga.

Sesungguhnya, wanita turut berperanan penting dalam usaha pembangunan ummah, sama pentingnya dengan peranan golongan lelaki. Malahan, di dalam beberapa perkara tertentu, ´usaha dan jasa´ mereka lebih berharga. Misalnya, sebagai suri teladan di dalam alam rumah tangga; membesar dan mendidik anak-anak agar menjadi generasi yang berguna bagi agama, negara dan bangsa. Baik lelaki mahupun wanita, salinglah melengkapi antara satu sama lain agar mendapat kesejahteraan bersama.

*sekadar berkongsi*