Thursday, October 18, 2012

Mencintai kerana Allah

CINTA

Apabila bercakap tentang cinta...istilah cinta itu sendiri melambangkan perkaitan tentang hati dan perasaan. Ramai orang pernah merasai cinta dan juga pernah mengalami kegagalan dalam bercinta. Coretan saya kali ini sekadar ingin berkongsi tentang fahaman dan pandangan saya dalam menilai erti sebuah CINTA.
Cinta; satu istilah yang terkadang terlalu sukar untuk dihuraikan... uniknya cinta hanya si pemiliknya yang merasainya. Apapun huraian, Cinta itu adalah anugerah ALLAH kepada diri setiap insani. Cinta itu juga adalah tanggungjawab. Ianya perlu dirancang dan dilaksanakan sebaiknya. Cinta haruslah dibina atas dasar keimanan.
Analogi cinta sebagaimana iman, tersembunyi dalam hati, terbukti dengan kata dan perbuatan. Cinta perlu difahami sebagai rasa kasih sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab, kesetiaan, keikhlasan, bermaruah dan ada matlamat. Sebagaimana kita memahami istilah cinta kepada Allah, RasulNya dan ibu bapa, maka begitu juga cinta kepada si dia walaupun kriteria cinta-cinta tersebut berbeza.
Apabila Allah hadirkan rasa cinta dalam diri kita, rancanglah sebaiknya dan dengan matlamat yang betul. Cinta bukan untuk dipermainkan, dan jangan mudah kita mengambil cinta kemudian mudah untuk kita melepaskan begitu sahaja kerana ia melibatkan hati-hati insan yang lain.  Bercintalah dengan cara yang betul, bercintalah dengan sebab yang betul dan bercintalah dengan matlamat yang betul. Cinta memerlukan usaha dan pengorbanan... bukan hanya pada harapan dan kata-kata tanpa kita berusaha.
Hargailah cinta yang dianugerahkan dalam diri kita dan gapailah keredhaan Allah. Doa itu adalah senjata kita dan jika segala usaha telah dilakukan, jika kebahagiaan itu bukan milik kita..redhalah atas ketentuanNya.

"Apabila ALLAH tidak memberimu seseorang yang kamu rindui.."
"berdoalah semoga DIA menghadirkan kepadamu seorang yang merinduimu.."

"Jodoh itu rahsia ALLAH"
"Jika takdir ALLAH menentukan yang kita bukan dengan dirinya...kita tidak akan bersama dengannya...tetapi jika Allah telah menulis jodoh kita dengannya, kita tetap akan bersama dengannya walau jauh terpisah.." insyaAllah.




Letakkan cinta ALLAH dihati...kerana Cinta Allah cinta yang abadi. Hayati Doa Nabi Daud Alaihi salam ini . . . . . . .
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cinta-Mu.
Ya Allah, apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, maka jadikan ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai.
Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, maka jadikan ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai.
Ya Allah, jadikan cinta-Mu sesuatu yang paling kucintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.
Ya Allah, jadikan aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh.
Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai.
Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.
(Hadith riwayat At-Tirmizi, Rasulullah S.A.W bersabda, “Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud a.s”)
"percaya pada kata-kata hati..."
::cthumaizon::


"cukuplah diriku mencintai di dalam hati..."

Tuesday, January 3, 2012

Perkongsian Info: Peranan Wanita dan Hak

PERANAN WANITA

Ingin saya berkongsi disini hasil pembacaan dari laman web YADIM, terdapat pelbagai peranan wanita dalam pembangunan ummah. Daripada al-Quran, kita akan dapat memahami bahawa penciptaan Nabi Adam a.s yang kemudian diciptakan Hawa, yang berfungsi sebagai isteri dan kawan hidup baginda. Kita mengetahui kisah isteri Firaun, yang mampu mencegah hasratnya untuk membunuh Nabi Musa a.s. Sebagaimana tercatat dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berkatalah isteri Firaun, ´(Ia) biji mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat bagi kita atau kita pungut menjadi anak, sedangkan mereka tidak menyedari.” (Al-Qashash: 9).
Sebagai seorang wanita, saya juga tertarik untuk menyelami pelbagai isu-isu wanita diluar sana terutamanya berkaitan hak dan tanggungjawab sebagai seorang wanita sebagai anak, ibu, dan isteri. Dari segi percintaan mahupun kekeluargaan, wanita perlu berdepan dengan perubahan dan cabaran semasa. Saya tertarik untuk berkongsi artikel hasil pembacaan Metroharian 25 Jun 2009 ruangan Variasi(Hati),m.s:V8 bertajuk “Cinta berkecai sekelip mata” “Anggaplah anda belum ditemukan dengan insane setia”.

Antara petikan yang boleh dikongsi ialah menginginkan sesuatu yang amat sukar diperoleh bagaikan satu kepuasan tidak terhingga. Namun dalam soal hati dan perasaan, setiap yang didambakan sering menemukan kita dengan harapan palsu, sekaligus kepahitan berterusan. Menghadapi perpisahan getir seperti putus kasih, putus tunang bahkan pernah melalui perceraian yang menjadi satu pengalaman pahit dalam hidup sukarnya untuk bangkit semula sesudah segalanya hancur punah. Namun jangan putus asa atas segala kepahitan yang dilalui itu. Dalam percintaan percayalah jika anda pernah dikecewakan, pasti akan wujud cahaya baru dikemudian hari. Katakan pada diri, mungkin anda belum ditemukan dengan insane yang layak menerima ketulusan cinta anda sepenuhnya. Anggaplah perpisahan dengan yang lama sebagai permulaan untuk suatu permulaan yang indah bahkan lebih bermakna.

Melalui ruangan Ratu, Berita Harian 6 Julai 2010, m.s:20, “Wanita perlu tahu hak elak daripada terus dianiaya”. Dari segi perkahwinan, ramai wanita mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga yang membelenggu mereka seperti didera secara mental dan fizikal oleh suami. Lebih malang ada yang ditinggalkan suami dan terpaksa melakukan segala-galanya sendiri termasuk menguruskan rumah tangga serta mencari pendapatan bagi menyara hidup bersama anak. Malangnya, ramai wanita yang hanya membiarkan keadaan itu menimpa mereka kerana berpendapat ia takdir selain beranggapan sebagai isteri, mereka perlu taat kepada suami dan tidak boleh menderhaka walaupun terpaksa melalui kehidupan yang menyedihkan. Hakikatnya, ada beberapa penyelesaian yang boleh dilakukan oleh wanita untuk keluar dari masalah yang menghantui hidup mereka itu dan mendapatkan hak yang sewajarnya untuk hidup secara bermutu. Antaranya menuntut cerai fasakh atau pembubaran perkahwinan. Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dr. Mohd Naim Mokhtar,berkata wanita sewajarnya mengetahui hak mereka sebgai isteri kerana Islam mempunyai undang-undang yang tidak membiarkan wanita terus dianiaya. Seksyen 2 (tafsiran) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, menyatakan fasakh didefinisikan sebagai sesuatu hal dan diharuskan hukum syarak. Dr. Naim berkata, Islam sentiasa mengutamakan keadilan dan saksama dalam semua aspek, oleh itu lelaki dan wanita mempunyai hak masing-masing untuk mendapatkan hak mereka dalam kehidupan berumahtangga.

Sesungguhnya, wanita turut berperanan penting dalam usaha pembangunan ummah, sama pentingnya dengan peranan golongan lelaki. Malahan, di dalam beberapa perkara tertentu, ´usaha dan jasa´ mereka lebih berharga. Misalnya, sebagai suri teladan di dalam alam rumah tangga; membesar dan mendidik anak-anak agar menjadi generasi yang berguna bagi agama, negara dan bangsa. Baik lelaki mahupun wanita, salinglah melengkapi antara satu sama lain agar mendapat kesejahteraan bersama.

*sekadar berkongsi*